Orang Melayu Islam mahu maju, kuat, berdaulat, disegani oleh bangsa-bangsa di dunia
Yang mendidik ke arah itu hanya propaganda hendak mencari nama
Yang mendorong ke arah itu kurang sekali hanya bermusim-musim sahaja
Hanya sekali-sekala yang dibuat oleh pemimpin negara
Selain itu ke arah membunuh jiwa dan mengajak orang berlalai-lalai lumrah berlaku
Cuba lihat media massa suratkhabar, tv, drama, teater, nyanyian
menyajikan perkara yang melalaikan
Drama hanya kisah cinta, kemudian kecewa, krisis rumah tangga
Nyanyian-nyanyian senikatanya mengandungi teruna dan dara
Kata-kata patriotik semangat membangunkan jiwa, kurang ada atau kurang dibawa
Lawak jenaka hanya gelak-gelak ketawa, ketawa terbahak-bahak macam orang gila
Hati atau jiwa lalai dibuatnya, atau hati buta
Kata-kata di dalam sajak oleh penyajak bahasanya kabur untuk seronok-seronok sahaja
Bahasanya bombastik payah difaham oleh pendengar
Tidak faham tidak jadi ilmu, tidak faham apa yang hendak dihayati oleh jiwa
Isi-isinya hanya memuja alam bukan memuja Tuhan
Maka jadilah kata-kata yang sia-sia belaka
Novel-novel dan cerpen-cerpen pun kisah-kisah cinta, kecewa, merajuk, bergaduh
Pemuda-pemudinya berlepak-lepak, membuang masa, berkhayal-khayal sahaja
Balik ke rumah di tengah-tengah malam mengecewakan ibu bapa
Bila dimarah-marah bermasam-masam muka
Dengan ibu bapa rasa tidak senang sahaja
Nasihat-nasihat tidak dengar kata
Cerita-cerita yang membawa keinsafan dan kesedaran kurang ada
Takutkan Tuhan, cintakan-Nya, cintakan agama dan bangsa tenggelam
di tengah-tengah kekarutan dan kelalaian tadi
Jadi cakap-cakap Melayu atau Islam mahu maju, kuat, berdaulat,
mahu disegani oleh dunia nonsense sahaja
Ini hanya cakap-cakap kosong sedangkan keadaan dan didikan tidak ke arah yang dikata
Cakap lain, sikap lain, cita-cita baik, perlaksanaan cita-cita jelik
Belum lagi menceritakan gejala masyarakat, jenayah, dadah, rasuah dan lain-lain
yang meruntuhkan agama dan bangsa
Jauh panggang dari api, jauh awan dari bumi
Cakap-cakap hendak kuat dan berdaulat angan-angan kosong sahaja
atau mimpi di siang hari
Beginilah nasib orang Melayu atau umat Islam seluruh dunia
Bilakah mahu merubah sikap, hanya Tuhan yang tahu
oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi